Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban Menurut Perspektif Islam

GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH QURBAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

32

Tafsiran

Qurban

Nama bagi sesuatu yang diqurbankan atau nama bagi ternakan yang disembelih pada Hari Raya Adha. Menurut fiqh ia bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah SWT pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai ternakan an’am yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan bertaqarrub kepada Allah SWT.

Individu yang hendak melaksanakan qurban

Individu muslim yang berniat hendak melaksanakan qurban (tidak termasuk organisasi, syarikat atau persatuan)

Pihak yang hendak menguruskan qurban

Orang perseorangan atau syarikat atau persatuan yang bersetuju untuk mengurus bagi pihak individu yang hendak melaksanakan ibadah qurban.

Nazar

Nazar adalah janji kepada Allah SWT. Menurut al-Mawardi, nazar ialah iltizam (mewajibkan diri) untuk melakukan qurbah (sesuatu yang boleh menghampirkan diri dengan Allah) yang pada asalnya tidak wajib di sisi syarak.

Qurban Nazar

Qurban yang diwajibkan ke atas individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar. Contohnya apabila seseorang menyebut “Wajib ke atas diriku berqurban seekor kambing kerana Allah SWT”.

Qurban Sunat (tatawu‘)

Qurban yang dilakukan bukan niat kerana bernazar. Ia dikira sunat kerana tidak ada sebab-sebab dan syarat menjadikannya wajib.

Sunat Muakkadah

Sunat yang amat dituntut untuk melakukan ibadah qurban dan makruh meninggalkan bagi yang berkemampuan.

Hari Nahar

Hari Raya Adha iaitu pada 10 Zulhijjah.

Hari Tasyrik

11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Hikmah Ibadah Qurban

Ia disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT di atas segala nikmat-Nya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.

Hukum Berqurban

Menurut pandangan jumhur ulama hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat (sunat muakkadah) bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Shafi‘i adalah sunat ’ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.

Jenis Qurban

Qurban terbahagi kepada dua jenis iaitu qurban nazar (wajib) dan qurban sunat.

Hukum Daging Qurban

  1. Ditegah memakan daging bagi orang yang melakukan qurban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagai mana juga ditegah memberikan daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam.
  2. Kulit, lemak, daging, susu, kaki, kepala dan bulu-bulunya haram dijual oleh orang melakukan ibadah qurban sama ada wajib atau sunat.
  3. Bahagian atau anggota sembelihan qurban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan qurban.
  4. Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’) memakan daging qurbannya.

Pembahagian Daging Qurban

Pembahagian daging qurban terbahagi kepada dua jenis iaitu sembelihan qurban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

  1. Pembahagian daging qurban wajib atau nazar:
    Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin dan haram bagi pihak orang yang berqurban memakan dagingnya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.
  2. Pembahagian daging qurban sunat ada beberapa cara iaitu:
    (a) Menurut pandangan ulama mazhab Hanafi dan Hanbali daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian seperti yang berikut:
    1/3 – untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya.
    1/3 – untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
    1/3 – untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran atau saudaranya.
    (b) Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i qaul jadid:
    1/3 – untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya.
    1/3 – untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
    1/3 – untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.
    (c) Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i qaul qadim:
    ½ – untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya.
    ½ – untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
    (d) Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i qaul asah wajib disedekahkan daging walaupun dengan kadar yang sedikit seperti setengah kilo atau setengah kati dengan syarat hendaklah daripada daging yang mentah, bukannya yang telah dimasak. Tujuannya supaya orang fakir atau miskin itu boleh memasak daging itu mengikut seleranya atau membolehkan dia menjualnya kepada orang Islam yang lain bagi mendapatkan harga dalam bentuk mata wang ataupun pertukaran dengan barangan yang lain.
    (e) Yang paling afdhal menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau sesuap yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berqurban untuk mengambil berkat seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan qurban.

Diri Individu Yang Dituntut Melakukan Ibadah Qurban

Syarat-syarat bagi individu yang dituntut melakukan ibadah qurban adalah seperti yang berikut:

  1. Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.
  2. Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba.
  3. Mencapai umur akil baligh dan berakal.
  4. Bermukim iaitu menetap di sesuatu kawasan.
  5. Mampu melaksanakan – orang yang mampu ialah mereka yang mempunyai harga/nilai (duit) untuk berbelanja mendapatkan ternakan qurban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk Hari Raya dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi melakukan qurban.

Syarat Kepada Orang Yang Melakukan Qurban

Untuk memenuhi syarat-syarat sah orang yang berqurban mempunyai tiga perkara:

  1. Amalan Qurban hendaklah disertakan dengan niat untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah SWT.
  2. Hendaklah niat qurban diiringi semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.
  3. Hendaklah memilih ternakan qurban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau untuk tujuh orang bagi tujuan melakukan ibadah qurban sahaja.

Syarat Sah Haiwan Ternakan Qurban

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah qurban, perkara-perkara tersebut adalah disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan:

  1. Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan haiwan an’am(ternakan) iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi. Dengan itu tidak sah berqurban dengan menggunakan ternakan yang lain selain daripada hewan an’am(ternakan) seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya.
  2. Hendaklah penyembelihan qurban itu dalam masa yang tertentu iaitu pada Hari Nahar dan meliputi dua malam iaitu malam ke-11 dan malam ke-12 Zulhijjah (tetapi makruh). Qurban tidak sah dilakukan pada malam Hari Raya atau malam ke-10 Zulhijjah. Begitu juga tidak sah dilakukan pada malam ke-14 Zulhijjah.
  3. Hendaklah ternakan yang diqurbankan itu tidak mempunyai kecacatan seperti tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk atau cedera pada tubuh badan atau kurus sehingga tidak mempunyai lemak, maka tidak terlaksana untuk dijadikan qurban.
  4. Setiap ternakan yang dijadikan sembelihan qurban hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.
  5. Hendaklah haiwan yang diqurbankan telah mencapai satu tahap minimum umur yang diharuskan untuk berqurban iaitu:
    (a) unta (ibil) – berumur 5 tahun masuk tahun ke-6.
    (b) lembu/kerbau (baqarah) – berumur 2 tahun masuk tahun ke-3.
    (c) kambing (ma‘zi) – berumur 2 tahun masuk tahun ke-3.
    (d) biri-biri (dha’ni) – berumur 1 tahun masuk tahun ke-2 ataupun telah bersalin gigi di hadapan.

Waktu Menyembelih Qurban

Penyembelihan qurban hendaklah dilakukan apabila berlalu tempoh sekadar selesainya dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Waktu penyembelihan qurban berterusan siang dan malam (makruh pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari.

Syarat Penyembelih Haiwan Qurban

Afdal bagi orang yang melakukan qurban menyembelih qurbannya dan sama-sama turut hadir menyaksikannya. Walau bagaimanapun dia boleh mewakilkan kepada orang lain atau syarikat atau persatuan yang bersetuju untuk menguruskan ibadah qurban dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Penyembelih qurban hendaklah seorang muslim. Jika qurban itu disembelih oleh orang kafir yang diwakilkan oleh tuan qurban, maka qurban itu tidak sah, dan makruh sekiranya dia seorang ahli kitab.
  2. Seorang yang telah mumayyiz dan berakal kecuali gila dan mabuk. Makruh mewakilkan ke atas kanak-kanak dan perempuan haid.
  3. Lelaki ataupun perempuan (namun yang afdal melakukan qurban adalah orang lelaki dan sunat orang perempuan mewakilkan kepada orang lelaki).
  4. Mampu melakukannya dan dilakukan tanpa ada paksaan.

Syarat Alat Menyembelih

Alat menyembelih hendaklah tajam yang boleh menghiris dan memutuskan dua urat leher (pembuluh darah – wadajain), sehingga dapat mengalirkan darah, urat mari’ (saluran makanan) dan halqum (saluran pernafasan) dan bukan menggunakan alat yang tumpul seperti tulang dan gigi haiwan.

Kawasan Penyembelihan Ternakan Qurban

Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian semasa aktiviti penyembelihan ialah seperti yang berikut:

  1. Hendaklah ditentukan di tempat yang khusus yang merangkumi aspek keselamatan dan kebersihan tempat tersebut;
  2. Tempat singgah/simpanan ternakan qurban hendaklah lapang, teduh dan selamat;
  3. Hendaklah menyediakan air minuman yang bersih dan makanan yang mencukupi bagi haiwan berkenaan;
  4. Tapak penyembelihan ternakan qurban hendaklah sesuai, bersih dan selamat;
  5. Darah penyembelihan tidak boleh dialirkan ke saliran awam;
  6. Tempat melapah jika dilakukan di atas lantai hendaklah sesuai dan bersih
  7. Daging yang telah dilapah hendaklah digantung pada tiang yang tidak karat dan ketinggian tiang yang bersesuaian agar daging yang dipotong tidak mencecah lantai;
  8. Tempat memotong daging hendaklah menggunakan meja yang sesuai, bersih dan selamat;
  9. Penyembelihan yang dilakukan di balai raya, padang awam, taman perumahan, luar perkarangan masjid, surau, serta rumah persendirian hendaklah menitikberatkan aspek kebersihan bagi memastikan daging qurban bersih dan juga selamat untuk dimakan.
  10. Afdal dilakukan di kawasan rumah kerana dapat disaksikan oleh ahli keluarga.

Perkara Sunat Ketika Berqurban

Antara perkara sunat ketika berqurban adalah seperti yang berikut:

  1. Menambat ternakan qurban menjelang Hari Nahar – makanan hewan sembelihan sebelum qurban – pastikan tidak makan makanan yang syubhah (makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan hewan qurban).
  2. Meletakkan tanda serta menutup tubuh ternakan qurban supaya dapat merasakan kepentingan qurban.
  3. Melakukan penyembelihan qurban dengan sendiri.
  4. Membaca tasmiyah(bismillah).
  5. Penyembelih dan ternakan sunat mengadap ke arah qiblat.
  6. Sunat memilih ternakan yang paling baik.
  7. Sunat menunggu ternakan yang disembelih itu sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau benar-benar mati dan barulah dilapah.
  8. Orang yang melakukan qurban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berqurban.

Perkara Makruh Ketika Berqurban

Antara perkara yang makruh ketika berqurban adalah seperti yang berikut:

  1. Makruh melakukan qurban ternakan yang carik telinganya atau terpotong sedikit dibelakang telinganya.
  2. Makruh memotong bulu ternakan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudharatkannya.
  3. Makruh menjadikan ternakan qurban yang pecah dan patah tanduknya dan tiada bertanduk.
  4. Makruh memerah susu ternakan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
  5. Makruh bagi orang yang hendak berqurban memotong kukunya dan bercukur.
  6. Makruh melakukan sembelihan qurban pada waktu malam.

Kebajikan Haiwan Sembelihan Qurban

Antara perkara-perkara yang boleh ditambah selain melakukan amalan sunat ketika berqurban ialah:

  1. Ternakan yang menunggu untuk disembelih tidak boleh melihat ternakan lain yang sedang disembelih;
  2. Tidak digalakkan mengasah pisau di hadapan ternakan yang hendak disembelih.
  3. Melakukan sembelihan dengan cepat dan teratur.
  4. Membawa sembelihan ke tempat yang khusus dengan cara yang baik bukan cara yang kasar dan tidak diseret kakinya.

Cara Menyembelih Haiwan Qurban

Cara menyembelih ternakan qurban adalah seperti yang berikut:

  1. Niat atau qasad untuk sembelih qurban;
  2. Membaringkan dan menghadapkan rusuk kiri haiwan ke arah kiblat dan kepalanya diangkatkan sedikit;
  3. Direbahkan dengan menggunakan tali yang sesuai, tempat yang sesuai dan tidak menyebabkan kecederaan kepada ternakan dengan memastikan kebajikan haiwan terjamin;
  4. Membaca tasmiyyyah ( bismillah / bismillah Allahu akbar );
  5. Berselawat ke atas Nabi SAW;
  6. Bertakbir sebelum atau selepas membaca bismillah dengan menyebut ال إله إال اهلل واهلل أكبر اهلل أكبر وهلل الحمد اهلل أكبر اهلل أكرب اهلل أكرب اهلل أكرب 64
  7. Penyembelih hendaklah memegang kulit tengkuknya di bahagian bawah dagunya dan menariknya sehingga nampak jelas kulitnya;
  8. Meletakkan alat menyembelih di leher dengan memotong biji halqum, urat mari’ dan dua urat di leher kiri kanan hewan (wadajain);
  9. Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan kadar segera dan tidak diselangi dengan amalan-amalan lain;
  10. Berdoa kepada Allah SWT agar ibadah qurban diterima.

Pengurusan Sisa Ternakan Qurban

331

Perkara-perkara yang mesti dititikberatkan selepas penyembelihan ternakan qurban ialah mengurus sisa qurban yang tidak diperlukan seperti yang berikut:

  1. Bahan pepejal seperti lemak, tanduk, tulang hendaklah dibungkus dan dilupuskan dengan cara yang bersesuaian; dan
  2. Bahan cecair seperti najis, sisa darah penyembelihan hendaklah ditanam.

Agihan Daging Qurban

Sebelum melaksanakan pengagihan daging qurban, beberapa urusan yang berkaitan dengannya hendaklah diputuskan melalui jawatan kuasa yang dibentuk untuk memudahkan urusan pengagihan daging qurban kepada pihak-pihak yang telah dikenal pasti seperti yang berikut:

  1. Memastikan daging qurban cukup untuk diagihkan kepada pihak- pihak yang telah disenaraikan;
  2. Menyediakan senarai penerima daging qurban mengikut keutamaan;
  3. Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka;
  4. Mengagihkan daging qurban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil;
  5. Menyediakan kontena sejuk (jika perlu) untuk menempatkan daging qurban sebelum ia diagih ke kawasan pendalaman; dan
  6. Mengagihkan daging qurban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging qurban tersebut.

Jika anda membutuhkan kambing aqiqah atau kurban, kami Aqiqah Berkah siap menjadi mitra aqiqah anda dalam pelaksanaan aqiqah.

341

Informasi dan Pemesanan :
WA : +6281335680602
BBM : 7C0B38CE
TELPON/SMS : 085749622504

-_-Aqiqah Berkah Siap membantu Anda dalam Qurban atau Aqiqah Anda-_-

Leave a Reply

Your email address will not be published.